Ditulis oleh: Nobisha (http://nobisha.blogspot.com)

Sewaktu pulang dari Seoul baru-baru ini, saya bergegas berlari keluar kapalterbang. Isteri saya sudah lama menunggu di terminal KLIA. Saya tidak mahu beliau dan anak-anak terus lagi menunggu. Selepas "clearance" Imigresyen, saya melalui pemeriksaan Kastam.

Ada dua pilihan, sama ada melalui jalur hijau atau membuat deklarasi. Saya memilih jalur hijau kerana saya hanya membawa sebuah bagasi kecil. Sudah menjadi tabiat saya, apabila ke luar negara saya tidak membeli-belah. Bagasi itu yang saya bawa pergi dan balik, tidak ada tambahan. Melepasi jalur hijau, pantas dan tidak ada soal-jawab.

Nah, kalau nak ke neraka juga boleh pilih jalur hijau. Hah? Jalur hijau ke neraka? Biar betul ... Ya, nak ke neraka juga boleh ikut jalur hijau. Bagaimana?

1. Buat blog. Boleh pilih Blogger atau Wordpress.

2. Tulis apa sahaja yang anda dengar di kedai kopi atau terima melalui sms. Bahan-bahan melalui email atau Yahoogroups pun boleh juga dimasukkan. Usah periksa betul atau tidak. Asalkan nampak sensasi dan boleh "gempaq", masukkan dalam blog. Atas nama perjuangan, kita perlu mendedahkan keburukan. Doakan, semoga Allah s.w.t. memberikan pahala kerana kita membuat blog perjuangan. Doa banyak-banyak.

3. Sekiranya tidak ada bahan, carilah idea di mana-mana blog atau website orang lain. Tak jumpa juga, cuba Google. Altantuya. C4. Liwat. Lewat. Lawat. Skandal. Sex. Rasuah. Semua ini menarik. Sekali lagi, usah periksa betul atau salah. Asalkan sensasi, masukkan dalam blog. Tugas kita mendedahkan kebobrokan mereka. Betul atau salah, itu tak penting. Pokoknya, dedahkan dulu.

4. Promosi blog habis-habisan. Biar semua orang baca. Lagi ramai orang baca lagi bagus. Ini perjuangan era ICT.

Nah, itu cara nak masuk jalur hijau ke neraka. Cepat dan pantas. Tak sempat malaikat nak tanya, terus humban dalam neraka. Tum!

* * *

Sewaktu kecil dulu, Ustaz selalu ingatkan saya. Kalau orang lain cakap buruk, jangan sebarkan. Mungkin tak betul. Mungkin fitnah. Mungkin orang yang bercakap tu berbohong. Cuma Ustaz saya tu bercakap zaman pra-internet.

Ustaz tu tak sempat baca blog sebelum meninggal dunia. Dia pun tak ada komputer. Tak dapat nak bezakan antara "fishing net" dan "internet". Kalaulah dia membaca blog, tentu dia akan nasihat: Jangan dok "cut and paste" artikel yang tak tentu salah atau betul. Sikit-sikit "cut and paste." Asal baca, tak pernah tanya siapa penulis. Apa motif dia menulis. Mungkin orang kafir atau munafik yang membawa berita palsu. Ah, tak kisahlah. Kita bukan Tuhan. Biar Allah s.w.t. yang hukum. Tugas kita, "cut and paste" dan sebarkan.

Itu cara nak cepat ke neraka. Pantas. Itu jalur hijau. Silakanlah!

OreKelate: Stuju sangak2 dengan Nobisha, ghama sangak ore zaman loni nok jadi femes daley blog, dok selidik dulu sumber artikel, janji artikel tu menjatuhke musuh dio. Ore Kelate suko beringak dale hal-hal gini. Buleh doso keringgg jah..

2 comments

  1. Singh Is Kinng // October 13, 2008 at 11:00 PM  

    Salam Saudara,

    Seperti bak kata pepatah Melayu lama, tanpa angin pokok takkan bergoyang. Tidak juga saya mempercayai khabar yang tersebar tanpa menganalisis dengan akal secara rasional.

    Cerita liwat, C4, Mongolia dan sewaktu dengannya bukan hanya tersebar di alam siber. Saya sendiri pernah tumpang dengar beberapa perkara lebih detail yang sehingga kini masih tidak disiarkan oleh mana-mana bloggers.

    "Character assasination" adalah satu senjata yang berkesan dalam politik, digunakan dalam berbagai peringkat, sama ada cawangan, bahagian ataupun pusat.

    Cerita pasal Kuala Krai pula, jika si Ramzi tidak membatalkan pencalonan Datuk Wan Zaid (abang kepada Datuk Fatmi) menggunakan prosedur, kemungkinan besar Ramzi akan menghadapi perlawanan sengit.

    Pada pemerhatian saya, akar umbi meminta agar Datuk Wan Zaid kembali menerajui Bahagian Kuala Krai, tetapi Ramzi telah berjaya menggunakan ketua-ketua cawangan untuk menepis pengaruh Datuk Wan.

    Wassalam.

    Ore Krai.

  2. UMNO Rambai Sari // October 14, 2008 at 2:33 AM  

    Ore Krai,

    Terima kasih atas maklumat perkembangan pemilihan di K.Krai.

    Setiap kali saya balik Kota Bharu, saya akan lalu sebuah masjid (Bi Samihah kot namanya)di tepi Jalan Kuala Krai-GM.

    Memang menyenangkan, boleh berenti rehat, sembahyang dan betulkan urat. Satu hari, hujan sangat lebat sehingga tak dapat tengok jalan, sekali lagi masjid tersebut jadi tempat persinggahan. Saya dengar masjid tu Dato' Wan Zaid yang dirikan. Alhamdulillah jika betul, banyak pahala InsyaAllah.

    Asam garam politik, kadang-kadang jika ada kuasa, macam-macam boleh jadi. Pertembungan Ramzi-Wan Zaid itu 'bau'nya sama seperti pertembungan Dato' Fatmi-Zaid Ibrahim di Kota Bharu. Bezanya, si adik yang membatalkan pencalonan pihak lawan, di Krai Abang jadi mangsa.

    Politik tak kenal adik beradik Ore Krai..

    Salam..